Tiga rakyat Palestin maut di Gaza pada Ahad, dengan dua daripadanya dalam serangan dron Israel dekat Rafah, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan terdahulu, lapor berita Anadolu memetik sumber perubatan.
Dilaporkan serangan dron itu menyasarkan kawasan dekat Masjid Muawiya di Al-Mawasi, barat laut Rafah, yang mengorbankan Ahmed Saeed Fathi Abdeen dan Moataz Hajji, serta mencederakan beberapa yang lain.
Satu sumber daripada pihak berkuasa lintasan Gaza berkata, serangan itu menyasarkan pos Kementerian Ekonomi yang memantau trak membawa barangan masuk ke wilayah terbabit melalui lintasan Kerem Shalom.
Abdeen, 34, seorang daripada kakitangan yang bertugas di pos berkenaan, menurut sumber itu.
Lokasi yang sama pernah diserang pada 28 Oktober, yang mengorbankan enam kakitangan kerajaan, lapor Anadolu, pejabat media kerajaan Gaza berkata, mereka sedang memeriksa barangan yang masuk bagi memastikan keselamatan serta mencegah penyeludupan.
Di bandar Gaza, Abdullah Mazen Hassouna, 28, meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terdahulu terhadap sebuah khemah pelarian di Jalan Al-Jalaa, lapor Anadolu memetik satu sumber perubatan.
Seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan Al-Satr al-Gharbi, Khan Younis.
