Menteri-menteri luar Australia, Kanada, Itali dan United Kingdom pada Ahad menggesa Israel supaya menghentikan kelewatan sekarang dan membenarkan kemasukan segera 150,000 khemah dan bekalan penting ke Gaza menjelang musim sejuk, lapor berita Anadolu.
“Kami… jelas bahawa ketika musim sejuk mula melanda Gaza, situasi kemanusiaan di lapangan adalah sangat kritikal,” kata para diplomat tertinggi itu dalam satu kenyataan bersama, menurut Anadolu.
Menyatakan bahawa banjir baru-baru ini akibat ribut musim sejuk pertama telah memburukkan lagi penderitaan orang awam, menteri-menteri terbabit memberi amaran bahawa sekatan sempadan menghalang kemasukan tempat perlindungan dan bahan bantuan yang “sangat” diperlukan.
Mereka menekankan bahawa krisis ini masih boleh “dipulihkan sepenuhnya” sebelum keadaan cuaca menjadi lebih teruk serta menggesa Israel supaya membuka pintu sempadan dan membenarkan kemasukan “barangan kegunaan dua tujuan” yang diperlukan untuk operasi kemanusiaan dan pemulihan awal “sebelum terlambat.”
Para diplomat itu juga menggesa semua pihak supaya menghormati gencatan senjata, mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melaksanakan Pelan Komprehensif untuk Gaza agar bantuan dapat sampai kepada penduduk yang terdedah kepada kesukaran.
