Dua anggota bomba terbunuh dan seorang lagi cedera ketika memadamkan kebakaran di sebuah bangunan terbiar di Zefyri, barat laut Athens, pada Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan penyiar awam Greece ERT.
Kedua-dua anggota bomba berusia 23 dan 44 tahun itu terperangkap di dalam bangunan yang terbakar dan kemudian meninggal dunia di hospital.
Anggota bomba ketiga, berusia 43 tahun, dibawa ke hospital dengan kecederaan tetapi selamat.
Kebakaran berlaku sekitar tengah hari di Jalan Katsantoni. Kira-kira 20 anggota bomba dan penyelamat khas dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.
Penyiasat sedang meneliti sama ada kedua-dua anggota bomba terbabit maut selepas terjatuh ke bawah tangga atau terhidu asap toksik selepas menjadi keliru di ruangan bawah tanah. Laporan awal mencadangkan alat pernafasan mereka mungkin kehabisan udara.
