Dua perkataan ini dekat bunyinya, walaupun ejaan tak sama. Maksudnya juga berbeza dan boleh jadi geram antara kedua-duanya tidak sama.
Baywatch merujuk kepada siri drama tv Amerika di pantai — dengan kadar tontonan difahamkan sangat tinggi satu ketika dulu (boleh cuba periksa kepada tulisan mengenainya), sehingga menjadi sebutan, melekat di bibir segelintir orang. Rupa-rupanya penonton minat kepada aksi seksi, separuh bogel. Kuatnya pengaruh ‘baywatch’, maka jika lihat orang berpakaian separuh bogel di pantai, ada yang memberikan jolokan dengan perkataan itu.
“Bewok” pula ialah perkataan untuk dialek orang Kelantan kepada perkataan biawak. Biawak rupanya tak berapa cantik, bukan hodoh, malah buasnya sehingga masuk ke dapur orang. Maka, digunakan perkataan haiwan itu untuk menunjukkan sikap tidak berapa cantik pada seseorang.
Malah sebagai sumpahan dengan nada marah atau sindiran kepada seseorang misalnya, yang didapati/dipercayai melakukan tindakan tidak wajar seperti membohongi, memanipulasi orang atau mengatakan orang lain saja buruk, sedangkan dirinya juga tidak berapa nak betul.
Contoh, seorang lelaki bercerita kepada seseorang lain atau khalayak mengenai seorang kawan lelakinya atau segolongan yang tidak disukainya dengan sikap buruk seperti tidak perikemanusiaan, ganas, sehingga bunuh orang awam sedangkan dirinya sendiri (orang yang mengata, menceritakan hal itu) juga tindakannya tidak berapa betul—seperti mengarahkan tembakan yang mengakibatkan kematian dalam jumlah besar, sekali gus membunuh sesiapa saja di satu-satu lokasi sasaran, termasuk kanak-kanak — seperti mahu bunuh nyamuk di dalam kelambu, maka dibakar kelambu terbabit — kan “bewok”.
Orang yang mendengar kata-kata atau cerita tadi atau sekelompok khayalak yang mengetahui hakikat dengan akal warasnya menggelarnya “bewok” — bagi menunjukkan kemarahan kepada pihak yang bercerita ataupun dalam sesetengah hal “bewok” ditujukan kepada kedua-dua pihak.
Begitu juga salah orang lain nampak, diuar-uarkan lagi, bahkan dirakam fotonya, manakala salah sendiri disembunyikan, sebagai contoh orang lain yang belum ditentusahkan bersekedudukan dihebohkan, dirakam fotonya, sedangkan diri sendiri bercium, laga pipi di khalayak, berlakon intim di kamar, dedah yang tak sepatutnya dedah tak pula diusulkan — apakah “bersekedudukan” saja dihukumkan dosa, manakala yang lain dianggap biasa?
Salah puak sendiri dibisukan—orang lain, rakyat marhaen oh berdosa, tak boleh, haram—manakala puaknya sendiri, dengan rupa bentuk jalan tidak ditambah baik, sehingga setiap kali cuti am, ada saja kesesakan, bekalan air berbayar (yang naratifnya ‘air bersih’) jadi air tak bersih—berkelodak bahkan boleh dikatakan lebih kuning dari teh tarik misalnya—yang itu tak berdosakah hukumnya bagi pihak bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan itu (sedangkan bayarannya tetap dikutip) dan mereka yang berada di bawah payung tadbir urus sesebuah tempat, sejauh mana sikap cakna kepada rakyat….adakah semboyan cakna itu sah di waktu pilihan raya saja?
