Tiga mayat ditemui selepas kebakaran memusnahkan dua rumah di wilayah Yamagata, timur laut Jepun, pada awal Jumaat, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Xinhua menyatakan, menurut penyiar awam NHK, mayat-mayat terbabit ditemui di dalam sebuah dari rumah itu—sebuah binaan kayu yang sebahagiannya setinggi dua tingkat—yang dipercayai menjadi punca kebakaran.
Polis dilaporkan berkata, tiga orang tinggal di rumah terbabit dan semua mereka gagal dihubungi. Pihak berkuasa sedang berusaha menentukan sama ada mayat-mayat itu adalah penghuni rumah terbabit.
Sementara itu, tiada sesiapa dilaporkan cedera atau hilang di rumah yang satu lagi.
Polis menerima laporan daripada seorang penduduk berdekatan sekitar jam 2:30 pagi waktu tempatan mengenai api yang marak dari sebuah bangunan di Bandar Sagae.
